Tuesday, May 21, 2013

Lintah Mudah Diternak


Jika diberi pilihan untuk memegang lintah, mungkin ramai kalangan kita cuba mengelak daripada mendekati haiwan berkenaan kerana rupa bentuknya yang berlendir, lembik dan licin.
Sifat semula jadinya yang ditonjol­kan sebagai ‘drakula’ penghisap darah menyebabkan lintah sering dipandang sebagai spesies menakutkan terutama ketika berada di persekitaran habitat asalnya.
Bagaimanapun, satu perkara jarang diketahui orang ramai ialah tabiat menghisap darah haiwan berkenaan, iaitu ketika tempoh mengawan tiba bagi kegunaan telurnya, manakala makanan utamanya adalah cacing dan lumut.

Walaupun ia haiwan penghisap darah yang ditakuti keba­nyakan orang, khasiatnya dalam dunia perubatan tidak boleh disangkal, malah terbukti berupaya untuk menyelesaikan masalah berkaitan pengaliran darah.
Foto

LINTAH mempunyai nilai tinggi dalam dunia perubatan.

Kandungan ‘hirudin’ di dalam lintah adalah bahan yang sangat berkesan bagi mencegah pembekuan darah, manakala ‘histamine’ padanya pula dapat mengembangkan saluran kapilari darah.

Dalam dunia perubatan, air liur lintah mengandungi bahan bius, bahan anti pembekuan dan bahan antibiotik yang berkesan.

Khasiatnya terbukti dalam menggalakkan peredaran darah danmenghalang pembekuan darah, selain banyak digunakan dalam pembedahan mikro (kecil) seperti dalam kes penyambungan anggota badan.

Tidak hairanlah negara dari Eropah termasuk Amerika Syarikat sudah lama mempraktikkan penggunaan lintah dalam dunia perubatan, industri herba, farmaseutikal, kosmetik dan industri bedah.

Lintah atau ‘Hirudo medicinalis’ adalah spesies haiwan inverterbrata (haiwan tidak bertulang dan berkaki) mempunyai saiz badan yang pelbagai iaitu lima milimeter (mm) hingga 450 mm apabila memanjang. 

Badan lintah adalah leper dan mempunyai dua penghisap di kedua-dua hujung badannya dengan saiz penghisap hadapan lebih kecil dari penghisap belakang.

Unik­nya spesies berkenaan ialah ia sejenis haiwan ‘hermapordit’ kerana mempunyai kemaluan jantan dan betina di dalam satu badan, namun masih memerlukan pasangan untuk mengawan. 

Kedua-dua pasangan lintah akan menyalurkan sperma ke badan pasangan manakala telurnya yang berada di dalam kokun (kelongsong) akan melekat di bawah rekahan tanah atau pokok kiambang.

Kokun yang mengandungi nutrien untuk menelurkan anak lintah sebenarnya terhasil daripada sejenis cecair pekat dikeluarkan haiwan itu menerusi bahagian badannya dikenali sebagai klitelum.

Ia tahan dengan keadaan persekitaran yang ekstrem, dengan setiap satu kokun boleh menempatkan lebih 20 ekor anak lintah.

Bagi masyarakat Melayu, lintah sudah lama digunakan untuk tujuan perubatan, malah penduduk di kawasan desa dan perkampungan pernah menjadikannya sebagai bahan pengubat luka.

Dalam mengubat luka caranya sangat mudah iaitu hanya menyapu tempat luka dengan lendir lintah. Malah, ia juga sangat berkesan bagi merawat penyakit kudis buta. 

Oleh itu, tidak keterlaluan untuk me­ngatakan pengubatan secara tradisional masyarakat Melayu satu ketika dahulu seakan-akan sama dengan rawatan perubatan yang dipelopori Barat, cuma ka­edahnya berbeza.

Keberkesanan penggunaan lintah dalam bidang perubatan yang sudah dibuktikan di peringkat global itu menyebabkan haiwan berkenaan diternak secara besar-besaran bagi tujuan komersial. 

Di negara ini, ia dipelopori Art Soulist Holdings Sdn Bhd (Artsoulist) menerusi pembangunan dan penyelidikan (R&D) dilaksanakan semenjak 1995.

Pembabitan pihak terbabit bagaimanapun bermula dari bawah, bermula dengan modal jualan minyak lintah sebanyak 40 botol kepada pelanggan sekitar Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, seterusnya berkembang hingga terbinanya sebuah kilang dengan pelaburan RM1 juta.

Tambahan pula, selepas mendapat inspirasi daripada Kementerian Kesihatan, Pengarah Urusannya, Zamri Ibrahim dan Pengerusi Eksekutif Syed Osman Ismail tidak teragak-agak lagi untuk mengembangkan perniagaan kepada skala lebih besar. 

Zamri berkata, keistimewaan terdapat pada lintah seperti mudah diternak menjadi antara faktor pihaknya memilih haiwan berkenaan untuk dikomersilkan.

“Dilihat kepada potensinya, lintah boleh diusahakan secara komersial. Dalam pasaran negara, ba­nyak syarikat mengeluarkan produk berasaskan gamat, madu dan Tongkat Ali.

“Jadi mengapa tidak kami menerokai spesies haiwan itu yang banyak terdapat di negara ini, terutama khasiatnya kepada golongan lelaki,” katanya.

Sejak dahulu hing­ga kini, minyak lintah sudah dikenali masya­rakat dan dari situ juga bermulanya langkah pertama pihak terbabit untuk mengembangkan industri penternakan lintah di dalam negara.

Tanpa menoleh ke belakang, dua sahabat terbabit memulakan penternakan lintah secara lebih serius pada 1998 dan menghasilkan minyak lintah yang menjadi bahan komoditi baik bagi industri farmaseutikal.

Zamri berkata, me­ngikut kitab lama ‘Tajul Muluk’, lintah memang digunakan untuk kesihatan lelaki dan ia disokong de­ngan empat elemen penting pada haiwan itu seperti hirudin, pheromone, histamin dan nitrat oksida.

“Barat gunakan lintah untuk tujuan perubatan. Jika berlaku kemalangan, lendir lintah akan digunakan. 

“Enzim lintah ini akan disapukan pada bahagian luka kerana berperanan sebagai pembekuan darah, sekali gus menghentikan pengaliran darah berterusan.

“Sebagai contoh enzim lintah dapat menyambung balik bahagian organ seperti telinga yang terputus, manakala dari segi kosmetik, lintah digunakan untuk rawatan masalah kulit,” katanya.

Kini lintah diternak di beberapa kawasan di Terengganu, Perak dan Kedah menerusi pembekal utama yang dilantik Artsoulist bagi memenuhi keperluan penghasilan produk syarikat di Ajil.

“Ketika mula diperkenalkan, lintah banyak di­usahakan, namun sikap tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyebabkan ia dijadikan sebagai medium kepada skim cepat kaya hingga berkubur seketika.

“Dari situ kami menghentikan penternakan lintah sebelum memilih lebih 10 pembekal bagi memenuhi keperluan. Lebih penting harganya kini dijual sekali ganda daripada RM60 kepada RM120 sekilogram,” katanya.

Berkongsi pengalaman mengenai penternakan lintah katanya, ada tiga jenis lintah yang diternak di negara ini membabitkan spesies tiger, brown dan hijau, dengan lintah Asia mempunyai nilai perubatan paling tinggi di seluruh dunia.

Menurutnya, haiwan itu mempunyai 650 gigi halus serta tiga bahagian rahang untuk mencangkuk dan mengeluarkan enzim bagi mencairkan darah sebelum mengeluarkan sejenis lagi bahan kimia untuk menghentikan darah sebaik ia kenyang.

Katanya, tempoh matang bagi induk adalah selama enam bulan dan haiwan itu mampu hidup sehingga tiga tahun bergantung kepada cara ternakan yang dijalankan penternak.

“Lintah mudah diternak kerana hidup di persekitaran habitat semula jadi. Kita hanya perlu memindahkannya dari tempat asal ke kolam baru dengan menjaga air dan keasidan tanah (pH).

“Setiap satu kilogram lintah mengandungi kira-kira 100 ekor dan kualitinya akan diperiksa sebelum diasingkan bagi proses pengekstrakan,” katanya.

Beliau berkata, teknologi pengekstrakan yang digunakan membabitkan beberapa kaedah iaitu dengan menggunakan pelarut, perahan atau teknik penyulingan bagi mendapatkan hasil diingini.

Katanya, bagi mendapatkan ekstrak lintah, proses pengekstrakan dijalankan terhadap lintah yang berkualiti sebelum menghasilkan dua jenis produk akhir iaitu bentuk cecair ataupun minyak.

Menerusi ekstrak minyak lintah, katanya Artsoulist berjaya mengeluarkan 20 jenis produk kesihatan berkaitan lelaki termasuk produk paling utama atas jenama Minyak Lintah Tapa.

“Kira-kira 10,000 hingga 20,000 botol minyak lintah dikeluarkan syarikat dalam tempoh sebulan bagi bekalan tempatan seperti edaran runcit, farmasi, kedai kosmetik dan jamu.

“Selain itu, kira-kira 4,000 botol minyak lintah lagi diedarkan ke luar negara selepas mendapat kelulusan daripada Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika Syarikat (FDA) dan diyakini selamat lagi berkesan,” katanya.


6 comments:

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah